Thursday, April 26, 2012
BERILMU DAN BERAMAL
Sidang yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang memperolehi keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.
Sidang yang dirahmati Allah,
Ilmu menurut perspektif Islam terbahagi kepada ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Kedua–dua jenis ilmu ini adalah sama pentingnya menurut Islam, kerana tanpa ilmu, kita tidak mampu untuk beramal atau menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim yang baik. Ilmu Fardhu Ain adalah ilmu yang wajib diketahui oleh setiap individu muslim bagi melayakkan kita menjadi Muslim yang sempurna. Bagi setiap Muslim, menunaikan kewajipan seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji adalah kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu. Oleh yang demikian ilmu bagi memastikan segala ibadah tersebut menjadi sempurna adalah wajib diketahui oleh setiap muslim.
Ilmu Fardhu Kifayah adalah cadang ilmu yang tidak dapat dinafikan kepentingannya semua individu muslim. Contoh ilmu Fardhu Kifayah adalah seperti ilmu tafsir, ilmu hadis, ilmu qiraat dan lain-lain lagi. Begitu juga ilmu-ilmu umum seperti ilmu perubatan, ilmu perundangan, ilmu kemahiran, ilmu pelayaran dan sebagainya, perlu juga dipelajari.
Sidang yang dirahmati Allah,
Suatu pekerjaan atau amalan yang tidak berdasarkan ilmu itu seringkali menghadapi kebuntuan atau kegagalan. Sebaliknya ilmu yang tidak diamalkan itu tidak mendatangkan faedah malah sia-sia sahaja. Sebuah pepatah yang menyatakan:
Maksudnya : Ilmu tanpa amal umpama pokok yang tidak berbuah.
Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu, kerana ianya merupakan asas pemikiran dan pembuka minda. Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5:
Maksudnya : “(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.
Imam al-Qurtubi turut mengutarakan bahawa permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada nabi Muhammad s.a.w. dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakannya. Ia merupakan dasar utama yang diperjuangkan oleh Islam bagi membangunkan modal insan. Islam yang di dalamnya tersingkap keindahan ajarannya menggesa umatnya mencari dan mendapatkan ilmu sama ada secara formal dan tidak formal di mana membaca adalah anak kunci kepada ilmu pengetahuan.
Sidang dihormati sekalian,
Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda sama ada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti komputer dan sebagainya. Deria dan minda yang dicerna dengan ilmu pengetahuan hasil pembacaan akan menjana kehidupan manusia yang sentiasa inginkan perubahan. Sedikit ilmu yang diperolehi akan merangsang minat dan naluri dalam diri untuk menambah ilmu pengetahuan yang lain seterusnya akan terbentuk satu budaya membaca di kalangan masyarakat.
Sidang yang dirahmati Allah,
Melahirkan mayarakat yang berilmu dan mewujudkan budaya membaca bukanlah suatu yang mudah. Tahap pembacaan masyarakat Malaysia masih lagi rendah dan perlu dijana dengan lebih sepadu agar dapat melahirkan masyarakat berilmu dan bermaklumat. Sehubungan itu pada bulan Julai setiap tahun, kerajaan melancarkan kempen bulan membaca, bagi menggerakkan dan menyedarkan masyarakat agar menjadikan ianya sebagai budaya dan terus sebati pada setiap masa dan keadaan. Budaya membaca adalah titik tolak kepada kemajuan sesuatu bangsa. Oleh itu, budaya membaca menjadikan kita masyarakat yang berilmu.
Sidang yang dirahmati Allah,
Sejarah kegemilangan Islam telah memperlihatkan bahawa tamadun keilmuan telah bertapak dalam sejarah keagungannya. Perkembangan ilmu pengetahuan telah melahirkan tokoh-tokoh cendekiawan terulung antaranya imam-imam mazhab, Imam al-Ghazali, Ibnu Sina, Ibnu Rusydi, al-Khawarizmi. Di nusantara ini juga tidak ketinggalan dalam melahirkan para ilmuan seperti Tok Kenali, al-Marbawi, Sheikh Daud Fatani dan ramai lagi. Tokoh-tokoh tersebut telah mewariskan kepada kita dengan pelbagai bidang keilmuan sebagai bukti dan motivasi bahawa tamadun keilmuan boleh muncul kembali. Suatu usaha harus digerakkan iaitu membudayakan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Bagi melahirkan budaya membaca dalam masyarakat, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan, antaranya ialah:-
Pertama, usaha menyedarkan masyarakat dan memperbetulkan sikap pengabaian minat membaca, wajar digerakkan. Usaha utama yang perlu dilakukan ialah dengan mengubah sikap masyarakat yang malas membaca kepada cintakan ilmu pengetahuan. Kempen kesedaran membaca perlu diadakan secara lebih sistematik dan meluas termasuk mengadakannya di tempat awam seperti di pusat membeli belah, stesen pengangkutan awam dan di tempat-tempat lain. Para pentadbir sekolah atau institusi pendidikan tinggi pula, perlu mengadakan minggu membaca atau program yang boleh mencerna diri pelajar antuk membudayakan tabiat membaca seperti kempen selangkah ke perpustakaan, sejuta pengetahuan.
Penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam aspek ini. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita. Disamping itu, ibu bapa perlu juga memperuntukkan perbelanjaan keluaga dengan membeli buku-buku ilmiah.
Kedua, mewujudkan suasana yang boleh mendorong tabiat membaca. Bagi mewujudkan suasana yang terarah kepada budaya membaca, institusi keluarga perlu mewujudkan perpustakaan mini di rumah selain menitikberatkan lebih banyak aktiviti pembacaan secara bersama dalam kehidupan seharian serta perlu dijadikan aktiviti bersama seperti makan dan solat berjemaah.
Ketiga, menggerakkan penulisan buku-buku ilmiah yang bermutu dan berkualiti. Para ulama’, cendekiawan dan ilmuan perlu memainkan peranan penting dalam menghasilkan buku-buku ilmiah yang bermutu dan menterjemahkan buku-buku dari bahasa Arab, bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi ke dalam bahasa ibunda agar ianya dapat menjadi rujukan masyarakat. Di samping itu, pihak kerajaan disarankan perlu memberi penghargaan tertinggi kepada para ilmuan dan cendikiawan yang berjaya melahirkan karya-karya ilmiah seperti yang pernah dilakukan oleh Khalifah Harun al-Rashid yang menimbang kitab yang dihasilkan oleh para cendikiawan dan memberi ganjaran emas seberat kitab yang dihasilkan. Secara tidak langsung ianya akan merancakkan aktiviti dakwah Islamiah. Saidina Ali bin Abi Talib pernah mengatakan: Berbicaralah dengan manusia dengan apa yang mereka dapat mengetahuinya dan tinggalkanlah apa yang tidak mereka ketahui. Apakah kamu semua mahukan Allah dan Rasul-Nya didustakan?
Keempat, penerbit-penerbit buku perlu meningkatkan promosi buku-buku ilmiah. Usaha ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan, malah penerbit-penerbit buku juga bertanggungjawab mengetengahkan buku-buku mereka dengan potongan dan tawaran harga yang menarik. Penerbit buku juga perlu memastikan bahan-bahan atau buku-buku yang dijual mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
Akhirnya, hari ini menyeru kepada hadirin sekalian agar terus menjadikan membaca sebagai satu budaya untuk kita menambah ilmu dan dengannya kita dapat beramal seterusnya membina tamudun yang gemilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment